
KUANTAN: Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan beberapa jalan utama terutama di pusat bandar dilanda banjir sedalam 1.5 meter (m).
Antara jalan ditenggelami air ialah Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih dan Jalan Pasar.
Difahamkan, banjir kilat itu berlaku jam 11 pagi semalam menyebabkan banyak kenderaan terkandas di jalan raya selain beberapa premis perniagaan ditutup kerana dinaiki air.
Walaupun daerah ini mula hujan sejak malam kelmarin, hujan lebat selama tiga jam bermula jam 8 pagi semalam menyebabkan berlaku banjir kilat.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pemilik kenderaan panik dan menyelamatkan diri dengan meredah jalan yang ditenggelami air.
Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tun Ismail, di sini, mendapati 10 kenderaan terkandas dan orang ramai membantu mengalihkan kenderaan mereka.
Tinjauan juga mendapati beberapa taman perumahan iaitu di Taman LKNP, Bukit Setongkol, Taman Perumahan Transit Quarters, Taman Teratai dan Semambu turut ditenggelami air antara 0.1 meter hingga satu meter.
Sementara itu, jurucakap pusat pemindahan banjir negeri berkata, seramai 787 mangsa banjir membabitkan 179 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan di sekitar daerah ini, Pekan dan Rompin.
Antara kampung terbabit di daerah ini adalah Kampung Galing, Taman Seri Kuantan, Kampung Cenderawasih, Kampung Tengah, Kampung Tanjung Lumpur dan beberapa buah kampung di sekitar Pandan.
Manakala mangsa di Pekan adalah di Kampung Sungai Miang serta Kampung Cenderawasih dan di Rompin adalah Kampung Perpat.
Mangsa ditempatkan sementara di pusat pemindahan di bandar ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Galing seramai 362 mangsa membabitkan 64 keluarga, SK Cenderawasih seramai 200 mangsa membabitkan 52 keluarga ,Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan seramai 93 mangsa membabitkan 41 keluarga dan Balai Raya Tanjung Lumpur seramai 21 mangsa membabitkan empat keluarga.
Manakala di Pekan pusat pemindahan adalah di SK Sinar Mutiara, Sungai Miang menempatkan 60 mangsa daripada 10 keluarga dan Masjid Kampung Perpat di Rompin menempatkan 51 mangsa membabitkan lapan keluarga.
Sebelum ini, sebanyak lapan laluan utama terpaksa ditutup dan dibuka semula selepas surut namun jalan di Jambatan Sungai Caru, Jalan Sungai Lembing, di sini, masih ditutup berikutan air naik sehingga ke paras 10 meter.
Penduduk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini.
Menurut JMM hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa jajahan di Kelantan seperti, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh erta di beberapa daerah di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, dijangka berterusan sehingga esok.
Keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, kata JMM dalam kenyataan.
Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang juga dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.
Dalam pada itu, JMM turut mengeluarkan nasihat hujan lebat peringkat kuning di beberapa kawasan di Pahang seperti daerah Jerantut, Maran dan Bera serta beberapa daerah di Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka akan mengalami hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana sehingga Rabu ini.
Keadaan itu juga boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, menurut kenyataan itu.
Portal JMM pula menyatakan beberapa kawasan di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang manakala hujan sementara dijangka berlaku di Kudat dan Tawau, Sabah.
Amaran peringkat kuning ialah kemungkinan berlaku luruan monsun dalam tempoh 24-48 jam, amaran peringkat jingga ialah hujan monsun sederhana yang berlaku untuk beberapa jam dan amaran peringkat merah pula ialah hujan monsun yang lebat dan meluas berlaku atau dijangka berlaku dalam beberapa jam.
- Bernama
No comments:
Post a Comment